Dapat Tawaran Banyak, Tapi Herry IP tetap Pilih Malaysia. Sebenarnya berita pelantikan Herry IP sebagai jurulatih skuad beregu lelaki negara sangat mengejutkan. Ia merupakan satu penghargaan buat Malaysia apabila jurulatih berprofil tinggi dari Indonesia itu memilih kita sebagai destinasi dia untuk melatih dan mencurahkan bakti selepas tamat kontrak dengan negara kelahirannya.
Ramai netizen seberang kecewa dan sedih melihat pelantikan ini kerana mereka sedar betapa bahayanya Herry IP kepada Indonesia jika dia melatih pasukan lawan bagi acara badminton nanti. Ditambah pula menjadi jurulatih rival mereka seperti Malaysia ia lebih menggusarkan peminat badminton Indonesia.
Apabila ditanya mengenai kenapa dia berhijrah meninggalkan Indonesia, Herry IP atau nama penuhnya Herry Iman Pierngadi berkata dia terbuka hati untuk menerima tawaran BAM atas beberapa faktor. Herry yang berkhidmat di Indonesia selama 30 tahun itu berkata :
"Tak ada (rasa takut). Ada beberapa negara mengemukakan tawaran, tetapi saya pilih Malaysia. Kenapa saya pilih Malaysia? Pertama, tak jauh dari Indonesia.
"Makanan dan budaya hampir sama dan yang terakhir, saya lihat ada harapan buat barisan pemain (beregu) negara. Ada banyak pemain yang bagus dan mampu bersaing di pentas dunia.
"Selain China, saya juga ada menerima tawaran dari Thailand serta India, tetapi akhirnya saya memilih Malaysia," katanya
Ditanya mengenai peluang skuad beregu lelaki negara untuk menjuarai All England bulan hadapan, Herry IP melihat ada peluang untuk menjadi juara. Dia berkata:
"Ada harapan (muncul juara), tetapi pemain semua negara juga mahukan kejuaraan Seluruh England.
"Tapi saya rasa Malaysia ada harapan dengan barisan beregu yang kita miliki, apatah lagi selepas melihat Wei Chong-Kai Wun memenangi Masters Indonesia minggu lalu," katanya..
--
Kita doakan permata Indonesia ini dapat memberi kelebihan besar kepada Malaysia dalam membentu skuad terbaik untuk tahun 2025 ini dan merangkul sebanyak mungkin kejuaraan penting dalam sesi ini. Semoga berjaya coach Herry IP!
0 Comments